Tuesday 6 January 2015

BAH KUNING PALING SENGSARA - NENEK MINAH


Gua Musang: Rezeki dikurniakan Allah SWT kepadanya adalah umur dan kesihatan yang baik meskipun menjangkau usia 118 tahun.

Namun, Minah Mamat dari Chiku, di sini, sama sekali tidak menduga dalam usia sebegitu dia berpeluang merasai tiga banjir terbesar di Kelantan iaitu pada 1927, 1967 dan 2014.

Bagaimanapun, Minah yang mendakwa dilahirkan pada 1897 menganggap banjir Disember lalu paling buruk berbanding dua banjir lagi terutama apabila melihat sendiri bagaimana rumahnya dimusnahkan ‘ombak’ air bah yang digelar penduduk Bah Kuning.

“Mulanya saya ingat 1967 adalah banjir terburuk yang terakhir saya hadapi. Tak sangka pula Disember lalu, saya merasainya sekali lagi, malah yang ini lebih buruk daripada sebelumnya.

“Umur panjang yang Allah SWT kurniakan membolehkan saya bercerita pengalaman menghadapi banjir ini dan saya boleh katakan kejadian lalu yang orang panggil Bah Kuning paling sengsara.

“Saya tidak mungkin lupakan banjir ini selagi nyawa masih ada. Kami hilang segala-galanya, rumah anak bongsu saya musnah dan hanyut begitu saja. Ia sangat memeritkan dan meruntun jiwa,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Jerek, di sini, malam, kelmarin.

No comments:

Post a Comment