KOTA BHARU - Kerajaan pusat akan terus memainkan peranan untuk membangunkan negeri ini bagi menyediakan kehidupan lebih baik kepada rakyat, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, walaupun wujud perbezaan politik antara kerajaan pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Kelantan pimpinan Pas, kerajaan pusat tetap membantu membangunkan negeri ini.

Kerajaan pusat akan terus membela nasib rakyat Kelantan dengan melaksanakan pembangunan dalam pelbagai bidang termasuk dalam bidang pendidikan, kesihatan dan infrastruktur, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Wisma Persekutuan Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, projek pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pusat di negeri ini akan merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan terbabit.

Katanya penempatan kira-kira 70,000 penjawat awam persekutuan di negeri ini juga turut membantu merancakkan ekonomi negeri antaranya melalui perbelanjaan harian yang mereka lakukan.

Sehubungan itu, beliau mahukan penjawat awam persekutuan meningkatkan peranan mereka dalam memberi kefahaman yang jelas mengenai dasar kerajaan kepada rakyat di negeri ini. - Bernama