Monday 27 October 2014

BUKAN KERANA LALAT

SEBUT sahaja Kedai Lalat, orang pasti memikirkan tentang kedai makan yang dipenuhi lalat, namun sebaliknya ‘lalat’ dimaksudkan itu simbolik kepada sebuah gerai makan yang begitu laris suatu ketika dahulu.                                                                 Kampung yang terletak kira-kira 6.5 kilometer dari pusat bandar, merupakan ibu daerah Sering dengan sebahagian besar penduduk merupakan kerabat Diraja Jembal.                                                                                     Menjejak salasilah Kampung Kedai Lalat, penduduk asal, Ismail Raja Deraman, 70-an, berkata, hampir 100 tahun lalu terdapat sebuah gerai yang menjual nasi berlauk menjadi tumpuan pelanggan.                                                                                                         “Keenakan masakan di gerai itu terbukti apabila makanan yang disediakan terjual dalam masa singkat antara 7 hingga 8 pagi. Di Kelantan, pengunjung yang ramai diumpamakan seolah-olah ‘dikerumuni lalat’,” katanya kepada Sinar Harian.



Namun begitu, Ismail berkata, tapak gerai berkenaan kini dijadikan pintu masuk Klinik Kesihatan Kedai Lalat di sini.

Merungkai sejarah Kedai Lalat, Ismail berkata, sebelum itu kawasan tersebut sudah dikenali sebagai Kota Jembal, sebagaimana digunakan hari ini.

Menurutnya, bermula daripada peristiwa itu, Kota Jembal bagaikan tenggelam seketika apabila penduduk seolah-olah selesa menggunakan nama Kedai Lalat tak kala merujuk kepada kawasan berkenaan.

Walaupun hanya lahir daripada cakap-cakap di kedai kopi, namun nama Kedai Lalat tetap mempunyai kelas tersendiri dan diguna pakai sehingga tertubuhnya Klinik Kesihatan Kedai Lalat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Lalat.

Menariknya, Kedai Lalat juga dikaitkan dengan tempat tinggal bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Pulau Melaka serta penubuhan Maahad Tahfiz Darul Anuar, berdekatan rumahnya yang menjadi tempat penyebaran ilmu agama untuk generasi muda dari seluruh pelosok negara.

Nik Aziz yang digelar Tok Guru juga merupakan Yang DiPertua Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK).

Ismail berkata, waktu itu hanya terdapat gerai kecil tersebut di samping beberapa gerai makanan lain dan surau ada di kawasan itu sebelum dikembangkan menjadi pekan.

Menurutnya, kawasan pekan Kedai Lalat itu sebelum ini merupakan kawasan sawah, dan kebun buah-buahan dengan menjadikan laluan kecil sebagai penghubung antara satu sama lain.

“Hasil perbincangan antara penduduk, mereka bersepakat membina laluan yang lebih baik menghubungkan Kedai Lalat dengan Pengkalan Datu.

“Kedai Lalat kemudiannya berkembang menjadi pekan kecil dan mempunyai bangunan sendiri yang masih kekal hingga hari ini, walaupun pelbagai perubahan dilakukan terhadap lokasi itu daripada masa ke semasa,” katanya.

Ismail berkata, Kedai Lalat dinaik taraf dan kini dengan keluasan mukim itu mampu menampung ratusan peniaga yang datang dari seluruh pelosok negeri ini.

Sementara itu, sejarah mencatatkan, Kerajaan Jembal diasaskan Raja Besar, keturunan Raja Bersiung yang memerintah Kedah sejak abad ke-14.

Raja Besar dan pengikutnya mencari tempat untuk dijadikan negeri sebelum mendirikan sebuah kota di tepi Sungai Babong, Pulau Melaka, di kawasan itu pula terdapat satu pokok ‘jambu jembal’ yang besar sebelum menamakan lokasi itu sebagai ‘Jembal’.

Pada 1638, Raja Besar menabalkan Raja Sakti sebagai penggantinya yang menetap di sekitar pekan itu. Difahamkan selepas penubuhan PKRJK pada 1992, nama Kedai Lalat ditukar secara rasminya ke Kota Jembal dan kekal sehingga hari ini

No comments:

Post a Comment