Wednesday 28 August 2013

KELANTAN SANA SINI

Pasar Siti Khadijah
Cara bijak untuk meneliti kehidupan di sebuah bandar di Malaysia ialah dengan melawat pasar tempatannya yang menjadi nadi kehidupan setiap bandar. Pasar Siti Khadijah dinamakan sempena isteri pertama Nabi Muhammad yang merupakan seorang ahli perniagaan. Nama yang sesuai untuk sebuah pasar yang mana penjaja di dalamnya kebanyakannya terdiri dari kaum wanita. Terdapat sesuatu untuk semua orang yang berkunjung ke pasar ini dari hasil tanaman segar hingga kraftangan dan kuih-muih tradisional. Ianya juga menggambarkan budaya dan cara hidup di Kelantan yang penuh dengan warna, bau dan bunyi yang unik milik penduduk di situ.

Pasar Wakaf Che Yeh
Inilah lokasi perniagaan yang baru bersinar di ibu negeri Tanah Rendah Sekebun Bunga. Asalnya, penjaja di sini adalah daripada pasar di Jalan Hamzah, tetapi telah dipindahkan berikutan pembangunan di tapak lama. Sejak beberapa tahun lepas, pasar Borong Wakaf Che Yeh mula meniti dari bibir ke bibir bukan sahaja warga tempatan tetapi juga pengunjung luar. Pasar ini beroperasi 24 jam iaitu berkonsepkan pasar pagi, pasar runcit, pasar malam dan pasar borong. Paling Menarik, ia menjadi begitu rancak di saat jam berdenting di tengah malam. Seribu satu barang daripada pelbagai fesyen pakaian, tubung, kasut bundle, permaidani, perhiasan rumah, aksesori kereta, dan permainan kanak-kanak, semuanya boleh dibeli dengan harga yang berpatutan. Lagi untung sekiranya bijak memilih dan pandai tawar-menawar.

Pasar Rantau Panjang, Pasir Mas
Destinasi popular bakal pengantin. Itulah kelainan yang masyhur di pasar bersempadan dengan negara seberang, Pekan Rantau Panjang pasti tidak terlepas daripada agenda lawatan ke Kelantan. Ramai yang kagum dengan halusnya seni tingginya kreativiti perniaga yang menghasilkan cenderamata untuk majlis perkahwinan, keraian atau sekadar buah tangan kenangan. Daripada barang biasa seperti sapu tangan kecil hinggalah sampah terbuang umpama sabut kelapa, digubah cantik sampai memukau pembeli untuk membelinya.

Pasar Tok Bali, Pasir Puteh
Ikan segar terus dari laut. Masih menggelupur dari jaring nelayan. Kelebihan inilah menjadikan ikan dari Pasar Tok Bali tersohor sehingga ke negara serantau. Tetapi jangan datang waktu pagi kerana anda tidak akan mendapat apa-apa selain sayur-sayuran dan barang dapur biasa yang lain. Singgahlah selepas Asar, hiruk pikuk peraih ikan melelong jualan dan nelayan yang baru tiba di jeti merancakkan suasana sehingga tengah malam. Tok Bali jugabegitu megah dengan jambatan tingginya serta pemandangan indah pantai dan kuala yang membiru.

Pasar Wakaf Aik, Bachok
Pernahkah anda melihat ikan bBarat, Kintan atau Siput Laut? bagi kaki pemancing tentu tidak kekok mengecam pelbagai jenis ikan pelik ini, tatapi bagi orang kebanyakan, sukar sekali mengenali apatah lagi menemuinya di pasar bisa. Tatapijika teringin menikmati lauk istimewa spesis baru seperti kepah, remis, udang ketak, dan sebagainya, jemputlah ke Pasar Wakaf Aik. Disini, ramai golongan petani dan nelayan kecil sendiri yang berniaga pada setiap pagi Rabu. Dengan menawarkan harga murah tanpa untung berlipat ganda, mereka menjamin kualiti dan kesegaran ikan yang amat memuaskan.

Pasar Jelawat, Bachok
Biarpun tidak terbilang seperti pasar-pasar utama lain, Pasar Jelawat sebenarnyarnya tidak kurang potensi majunya. Terletak tidak jauh dari pasar Tok Bali, pasar ini menjanjikan keistimewaan tersendiri. Masih mengekalkan konsep pasar yang menyediakan berbagai bahan basah dan kering dari peniaga setempat seperti ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan seumpamanya. Namun, apa yang sangat menarik, harga yang ditawarkan amat murah sehingga mengejutkan pengunjung. Jika kena pada hari dan waktunya, pembeli boleh mendapatkan sayur-sayuran daripada peraih dengan harga sepuluh kali ganda lebih murah dari biasa. Syaratnya, datanglah seawal 5.00 pagi semasa operasi baru bermula terutamanya pada hari Jumaat. Walau bagaimanapun, kegiatan di pasar ini mula mengendur menjelang waktu tengah hari. Bagi mereka yang ingin mengadakan kenduri, pasar Jelawatlah pilihan terbaik mendapatkan harga pukal yang menjimatkan bajet anda.

No comments:

Post a Comment