Friday 22 August 2014

HUDUD - KONSEP MEMBANTERAS JENAYAH DALAM ISLAM



Dr Zainal Azam bin Abd Rahman
Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Perkataan jenayah dalam Islam mengandungi pengertian yang am dan khusus. Secara amnya ia bererti sesuatu yang tidak baik dilakukan dan ia merangkumi dosa. Dari segi perundangan apa sahaja yang dilarang dalam Islam, jika dilakukan ia adalah satu dosa dan dengan itu boleh ditakrifkan sebagai jenayah dan mempunyai implikasi-implikasi tertentu dari segi hukuman.

Jenayah hudud adalah pelanggaran hak Allah yang dikenali juga sebagai hak awam atau masyarakat dan dalam masa yang sama merupakan satu dosa besar pada pandangan Islam. Hukuman hudud tidak boleh digugurkan jika telah sabit dengan bukti di hadapan mahkamah. Begitupun ia boleh digugurkan jika pengakuan itu ditarik balik oleh tertuduh walaupun pada saat-saat akhir sebelum hukuman.

Jenis-jenis kesalahan hudud dan kukumannya adalah tetap tidak boleh dipinda kerana ia bersifat mandatori. Pendakwaan kes-kes hudud dibuat oleh pihak pendakwa awam yang mewakili pihak berkuasa dan juga masyarakat keseluruhannya. Oleh sebab yang demikian ia menepati konsep jenayah sebagaimana yang difahami dalam konteks perundangan konvensional kerana ia adalah pelanggaran terhadap sesuatu hak awam atau masyarakat. Fungsi hukuman hudud adalah bersifat menghukum dan juga bagi tujuan pencegahan dan kerana itu salah satu rukun yang perlu ada ialah kesalahan itu hendaklah telah dilakukan dengan niat dan dengan cara sengaja.

Takzir ialah satu bentuk pelanggaran hak Allah yakni hak awam dan dalam masa yang sama juga merupakan satu dosa. Jenis kesalahan takzir disebut dalam syariah, tetapi hukumannya terserah kepada budi bicara pemerintah atau hakim yang mendengar sesuatu kes itu. Hukuman yang dikenakan tidak bersifat mandatori kerana ada banyak pilihan yang boleh dibuat oleh hakim berkenaan dengan mengambil kira keadaan atau status pesalah, melainkan pihak pemerintah telah menetapkan hukuman tertentu bagi kesalahan tersebut.

Pendakwaan bagi kes-kes takzir dilakukan oleh pihak pendakwa awam dan kerana itu takzir juga mempunyai ciri-ciri jenayah dalam konteks konvensional. Ia juga bertujuan menghukum pesalah dan juga untuk pencegahan. Yang membezakan takzir dengan hudud ialah hukuman hudud sudah ditentukan bagi kesalahan berkenaan dan tidak boleh dipinda atau diubah kepada hukuman lain.

Qisas pula ialah kesalahan yang merangkumi sebarang tindakan salah dengan sengaja dan niat bagi membunuh atau mencederakan seseorang. Ia adalah hukum bunuh balas bunuh dan cedera balas cedera. Dari segi konsepnya, pelanggaran hak yang berlaku dalam kes qisas adalah terhadap hak Allah/awam dan juga hak individu tetapi Islam menganggap hak individu adalah lebih besar dalam hal ini.

Oleh itu Islam memberikan hak kepada individu berkenaan ataupun warisnya untuk mengambil tindakan ke atas tertuduh. Lantaran itu ia terserah kepada mereka sama ada hendak mengambil tindakan atau tidak. Kerana itu kesalahan qisas dari segi teknikalnya tidak boleh dikategorikan sebagai jenayah mengikut kaca mata konvensional kerana hak mendakwa bukan terletak kepada pendakwa awam atau masyarakat.

Manakala bagi kes-kes yang tidak terjadi akibat adanya niat dan perlakuan sengaja oleh tertuduh, maka hak mangsa atau keluarganya adalah terhadap pampasan atau ganti rugi yang dikenali dalam Islam sebagai diyat dan daman. Hukuman qisas juga boleh ditukar dengan tuntutan diyat atau pampasan jika diinginkan oleh mangsa atau warisnya dan mereka juga boleh memberikan kemaafan secara percuma kepada pesalah yang telah disabitkan. Jika kerana sesuatu sebab khusus qisas tidak dapat dikenakan ke atas pesalah, maka hukuman qisas itu dengan sendiri digugurkan dan diganti dengan diyat atau pampasan.

Kesalahan qisas dan diyat sebenarnya merupakan satu bentuk hukuman yang merangkumi tujuan menghukum pesalah sengaja dan juga memberi pampasan kepada mangsa bagi kesalahan tanpa niat. Kerana itu ia lebih sesuai dikaitkan dengan undang-undang tort dalam konteks konvensional melainkan ia melibatkan pihak mangsa atau waris menuntut qisas dilaksanakan kepada pesalah di mana elemen pampasan tidak timbul.

Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam pada asasnya merupakan sebahagian daripada ketaatan umat Islam kepada perintah Allah s.w.t. dan kerana itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan soal akidah dan keimanan mereka kepada Tuhan Yang Maha Pencipta dan Maha Adil. Ini kerana peraturan jenayah seperti mana yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran dan juga sunah Nabi adalah sebahagian daripada agama Islam itu sendiri.

Dari segi yang lain pula, hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah yang terbukti bersalah, sebenarnya satu proses penyuciannya daripada dosa yang dilakukan. Ini membezakan kedudukan hukuman Islam dengan hukuman biasa atau sivil di mana tidak seperti pesalah yang menerima hukuman di bawah undang-undang syariah yang akan dikira bersih dari dosa, pesalah di bawah undang-undang biasa tidak akan menikmati kedudukan yang sama.

Ini kerana di bawah perundangan biasa, undang-undang dan hukuman tiada kaitan dengan konsep dosa dan pahala serta perhitungan hisab di hari akhirat. Lantaran menyedari hakikat inilah kita dapati pada zaman Nabi ada orang yang telah melakukan dosa dan jenayah dengan rela hati datang menemui Nabi meminta dibersihkan daripada dosa dan memohon dijatuhkan hukuman seperti mana yang telah diperuntukkan oleh Allah.

Keadaan ini tidak mungkin berlaku dalam sistem perundangan biasa, bahkan pelaku jenayah akan sentiasa berusaha untuk melepaskan dirinya daripada tuduhan walaupun memang sebenarnya dia telah melakukan jenayah berkenaan.

Sistem perundangan jenayah Islam juga mengambil kira nilai kemanusiaan sejagat. Ini jelas dapat dilihat dalam peruntukan qisas bagi kes bunuh dengan niat serta disengajakan di mana kedudukan dan rasa hati waris mangsa diambil kira dalam menentukan jenis hukuman yang bakal dihadapi oleh pembunuh. Bagi yang berasa puas hati jika hukuman balas bunuh dapat dikenakan ke atas pembunuh, mereka berhak untuk menuntut agar hukuman demikian dilaksanakan. Ini sudah tentulah akan dapat menghapuskan rasa marah dan keinginan hendak membalas dendam yang lumrahnya ada pada ahli keluarga mangsa yang mati dibunuh.

Manakala bagi yang ingin memaafkan pembunuh boleh berbuat demikian sama ada dengan menuntut pampasan/diyah sebagai balasan ataupun membebaskannya secara percuma. Elemen pampasan ini sudah tenotulah akan lebih bermakna lagi bagi ahli keluarga mangsa yang berada dalam keadaan yang serba kekurangan dari segi kewangan, maka sudah tentulah bayaran yang diterima dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka akibat kematian yang disebabkan jenayah berkenaan. Namun begitu bagi yang inginkan ganjaran pahala dan tidak perlukan wang pampasan mereka boleh memberikan kemaafan secara percuma, bahkan pilihan inilah yang sangat digalakkan oleh Islam.

Undang-undang hudud diperuntukan bagi menggerunkan masyarakat yang ada cadangan untuk melakukan jenayah berat. Undang-undang ini mempunyai syarat-syarat yang amat banyak sebelum ia boleh dikenakan ke atas seseorang tertuduh. Kadangkala kelihatan mungkin agak mustahil untuk mensabitkan seseorang tertuduh melainkan dengan pengakuan bersalah yang dibuatnya. Ini jelas bagi sesetengah kes seperti zina yang memerlukan empat orang saksi yang jelas melihat perbuatan itu dilakukan. Manakala bagi kes-kes yang lain pula sebarang keraguan yang wujud atau berjaya ditimbulkan akan dengan mudah dapat menyebabkan hukuman hudud itu tidak kenakan. Bahkan seseorang hakim yang membicarakan kes-kes sedemikian dinasihatkan agar sentiasa bersikap terbuka dalam menerima keraguan yang ditimbulkan. Ini adalah kerana secara prinsipnya Islam melihat adalah lebih baik tersilap tidak menghukum daripada tersilap menghukum seseorang di dalam kes-kes hudud.

No comments:

Post a Comment