Wednesday, 28 August 2013

MENTERI BESAR KELANTAN



Dato' Haji Ahmad bin Yaakob

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Haji Ahmad bin Yaakob telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar baru Negeri Kelantan di hadapan Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian pada 6 Mei 2013 lalu. Beliau menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan mulai 23 Mac 2004 sehingga 3 April 2013. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu menggantikan Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat yang telah memegang jawatan sebagai Menteri Besar negeri itu sejak 22 Oktober 1990.

Dato' Haji Ahmad bin Yaakob dilahirkan di Kampong Berangan, Tumpat pada 1 Febuari 1950. Bapanya Haji Yaakob bin Ishak ialah tokoh agama dan pejuang PAS di Kampong Berangan. Manakala ibunya Cik Zainab Binti Cik Hussin aktif dalam urusan Muslimah PAS Cawangan Berangan. Pada 1980, beliau berkahwin dengan Siti Zubaidah binti Ab. Hamid (seorang guru) dan mereka dikurniakan 11 orang anak. Berpendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Berangan. Kemudian di Sekolah Agama Bustanul Ariffin, Berangan, Tumpat. Seterusnya belajar di Maktab Pengajian Islam, Jalan Bayam, Kota Bharu dan kemudian melanjutkan pelajaran di Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan (PPTIK) Nilam Puri dan menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda (Syariah) serta mendapat Diploma Pendidikan di Universiti 'Ain Syam, Kaherah jurusan Bahasa Arab (1978-1979).

Sekembali dari Mesir, beliau menjadi guru di Sekolah Menengah Dato' Bentara Dalam, Segamat, Johor (1980). Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong, Gua Musang (1986), Sekolah Menengah Perempuan Pasir Mas dan ke Sekolah Menengah Rantau Panjang (1987-1995). Pada tahun 1995 beliau meletak jawatannya bagi membolehkan beliau bertanding di dalam Pilihan raya umum Malaysia 1995. Sebagai guru agama, beliau aktif dari surau dan masjid menyampaikan dakwah dan ceramah.

Bapanya, Tuan Guru Haji Yakob bin Haji Ishak merupakan tokoh PAS Tumpat dan pernah ditahan di bawah ISA bersama-sama Haji Nik Abdullah Arshad - tokoh PAS Kelantan. Beliau menjadi ahli PAS di cawangan Berangan pada 1986. Beliau pernah menjawat Pengarah Pilihanraya DUN Sungai Pinang (1986), Bendahari PAS Kawasan, Pengerusi Majlis Tindakan DUN Sungai Pinang (1990-1995) dan Ketua Penerangan PAS Kawasan 1997-1999, Naib Yang DiPertua PAS kawasan Tumpat, Pengerusi Lajnah Tarbiah dan Kepimpinan dan Jawatankuasa Bangunan PAS Tumpat serta Ahli Lajnah Politik PAS Negeri Kelantan.

Pada tahun 1995, beliau ditawar bertanding dalam Pilihanraya Umum. Oleh itu, beliau meletakkan jawatan dengan notis 24 jam sebagai guru Siswazah selama 15 tahun demi berbakti kepada PAS dan rakyat Kelantan. Beliau bertanding di DUN Pasir Pekan dalam Parlimen Tumpat menentang calon BN Haji Saupi Daud dan beliau menang dengan majoriti 2,734 undi. Pada 17 Mei 1987, Menteri Besar Kelantan melantik beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia. Sebelum ini dipegang oleh Rozali Isohak (Semangat 46) yang telah digugurkan kerana masuk UMNO. Selepas Pilihan raya 1999, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Sains Teknologi dan Alam Sekitar .

Dalam Pilihan raya umum Malaysia 2004 pada 21 Mac 2004 , Dato’ Dato' Haji Ahmad bin Yaakob menewaskan calon BN, Mohd Noor Yaakob (Naib Ketua UMNO Bhg Tumpat) dengan majoriti 2,271 undi. Pada 23 Mac 2004 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan. Majlis mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kelantan diadakan di Istana Negeri Kubang Kerian bagi menggantikan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (ahli parlimen Pengkalan Chepa). Selepas Pilihanraya Umum Malaysia 2013, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan bagi menggantikan YB Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat yang telah berkhidmat selama lima penggal

No comments:

Post a Comment