Kesabaran di atas musibah dan kegagalan yang menimpa ialah dengan meyakini bahawa kehidupan di dunia ini adalah medan ujian dan cubaan. Allah Taala akan menguji iman hamba-Nya dengan pelbagai jenis musibah dan dugaan. Dia juga menduga hamba-hamba-Nya yang beriman dengan pelbagai cabaran agar Dia membezakan di antara orang yang jahat dengan yang baik dan yang beriman dengan yang munafiq.
Firman Allah Taala bermaksud: Alif Lam Mim. Apakah patut manusia menyangka bahawa mereka (hanya) dibiarkan (sahaja) berkata: Kami telah beriman sedangkan mareka belum diuji. (Surah al-Ankabut: Ayat 1-2).
Musibah dan dugaan ini pasti akan datang sama ada terhadap harta benda ataupun diri sendiri. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala bermaksud: Demi sesungguhnya, kamu pasti akan diuji pada harta benda dan diri kamu. (Surah ali-Imran: Ayat 186).
Firman Allah Taala lagi bermaksud: Demi sesungguhnya, Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta denda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikkan dari Tuhan mereka serta rahmatNya. (Surah al-Baqarah: Ayat 155-157)
Tidak syak lagi bahawa orang mukmin yang sejati akan menanggung musibah ini dengan sabar dan penuh pasrah, bahkan dengan redha dan gembira. Kerana dia pasti musibah ini tidak diturunkan oleh Allah Taala kecuali untuk menghapuskan dosa-dosa serta menghilangkan kejahatan di dalam dirinya.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tidak ditimpa seseorang muslim itu daripada kepenatan, kesakitan, dukacita, kebimbangan, penderitaan, kesedihan dan tusukan duri sekalipun melainkan dengan perkra tersebut Allah Taala menjadikannya sebagai kifarat terhadap kesalahan-kesalahannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain itu, musibah dan dugaan itu juga adalah untuk mengangkat darjat orang-orang beriman kepada satu darjat dan kedudukan yang lebih tinggi di sisi Allah Taala. Jika mereka menerimanya dengan penuh kesabaran dan keredhaan maka Allah Taala akan mengangkat lagi darjat mereka itu.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Apabila Allah telah mendahulukan kedudukan seseorang hamba kepada satu kedudukan yang tidak mampu dicapai dengan ilmunya maka Allah mengujinya pada tubuh badan, keluarga serta harta bendanya, kemudia Allah menjadikannya sabar terhadap ujian yang menimpa sehinggalah dia mencapai kedudukan yang telah disediakan oleh Allah Taala. (Riwayat Abu Daud).
No comments:
Post a Comment