Monday, 9 September 2013

MAJLIS RESTU ILMU UPSR TAHUN 6

Sajak ini saya deklamasikan sempena Majlis Restu Ilmu. Semoga kalian semua berjaya dalam menghadapi UPSR nanti..

Azam UPSR


Ibu…
ku tahu betapa aku menyusahkanmu
selama dedaging membalut tulang temulang
kau menderita kesakitan ketika
aku mula menjengah dunia
tangisan pertamaku kau sambut dengan senyuman
berulit airmata gembira
ketika itu tipisnya pemisah antara hidup dan mati
ditangan takdir Maha Kuasa

Mak…
ku tahu dimalam dingin
sewaktu manusia diulit mimpi indah
kau bangkit melayan karenah
yang entah apa mauku

Mama…
kaulah manusia pertama mendakapku
kaulah yang pertama membelaiku
persis aku permata di matamu
saat kaki terkulai  tanpa kudrat untuk melangkah

Aku sering mengganggu waktu lenamu
mimpimu kekadang berteman tangisan-tangisanku
kau bangun dari tidurmu tanpa kesah...
kau terus mendakapku
hingga aku lena dibahumu

Perkataan sayang...sayang nak....sayang nak....sayang nak...
yang entah  kali keberapa
menjadi zikir membasah bibirmu
membelai membaluti setiap rengekanku

Umi…
kau jua mengelap air mata ketika aku tersungkur
demi mengatur langkah pertama
saat kaki bertatih meneroka dunia
kau sentiasa bersama
aku ditatang bagai minyak yang penuh…
biar derita tertumpah padamu
dari aku menderita kesakitan
korban segala,
demi melihat aku bahagia…

Ibu…
ku tahu disaat aku melangkah ke alam persekolahan
kau berkorban masa tenaga dan wang
untuk menghantar aku menimba ilmu….
kelak… aku jadi insan peneraju

TAPI mak…

Semalam….aku banyak main dari belajar
Semalam….semasa guru mengajar aku leka mi
Semalam….aku ponteng kelas bu
Semalam….aku tak buat kerja yang guru suruh
Semalam….aku bermain dalam kelas semasa ketiadaan guru
Semalam….aku melanggar disiplin sekolah mak

Semalam ......aku lebih suka membuang masa dari belajar bu
Semalam ......aku tersebut cikgu gila
Semalam ......aku terlafaz cikgu bodoh
Semalam ......aku terkata cikgu BA....
Semalam…....aku sering merungut dalam hati
Lantaran nasihatmu ku anggap leteran yang membosankan
Dan semalam….semalam….semalam…..
Banyaknya cerita yang membuat kau tersedan kehampaan….ma…bu…mak…umi….

Ma...
aku  menjejak usia remaja…
aku semakin nakal....
apatah lagi mengikut nasihatmu…
aku tidak mendengar laungan hati
segumpal harapan untuk aku berjaya dunia akhirat…
aku tutup jalan menuju soleh dan solehah….
aku tidak bersungguh
untuk menjadi impianmu mak...

Kubiar air mata ibu terus mengalir kekecewaan…
kehampaan…kedukaan…
tapi aku tahu dan pasti di hatimu
bukan penyesalan memiliki anak seperti ku…

Bu…tidak terlambat kan…
sekira aku memohon ampun
dari hujung rambut ke hujung kaki…

Hari ini aku berjanji mi…
akan jadi insan seperti  kau harap
agar nanti tiada air mata menitis dihujung solatmu…

Hari ini…..
aku bulatkan tekat untuk
bersungguh-sungguh dicabaran
upsr tahun ini….

Umi….
ku akan ganti air mata yang mengalir
dengan selaut kebanggaan…..
agar nanti ombak akan tertewas
dengan bahtera kejayaan yang kulayarkan

Akan ku gumpal selangit awan
yang ukirannya kesungguhanku
menjadi insan berguna harapanmu...

Mak…
sempena hari ibu ini juga
aku…anakmu berjanji …
dibibirmu kelak
terpahat senyuman yang akan kutenun dengan siratan emas
hiasannya taburan permata indah dan harumannya sekudus kasturi

Yang menanti mu
dengan dakapan kebahgiaan
di pintu syurga…………

UPSR 5A dalam genggamanku…

"Cikgu ampunkan kesalahan kami
Maafkan Keterbiadapan kami
Ikhlaskan Kekurang ajaran kami
Mohon RESTU dan HALALKAN ilmu
Yang cikgu-cikgu limpahkan kepada kami
Doakan kami mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR..."

Ayuh!
Bangkitlah wahai muridku,
Buangkan selimut mimpi,
Ketika fajar mengetuk pintu hari,
Mulakan langkah berani,
Membawa Watikah Amanah dan Janji!
Muridku,
Tahukah kau?
Bahawa saban waktu,
Betapa lebatnya dedaun ilmu,
Secepat musim berlalu,
TETAPI..,
Manakan mampu meneduhkan hidupmu,
Jika usahamu kian pantas dihambat jemu,
Muridku,
Cuba kau helakan nafas kentalmu,
Pada Ayah, pada Bonda, jua pada Gurumu,
Bahawa gunung harapan bias kau daki,
Puncak menara bisa kau jejaki,
Dan ketahuilah!
Ketika bibir suria menguntum senyum,
Lalu menghulurkan jemari halusnya,
Serta melambai ucapan ‘SOBAHUL KHAIR’
Dan ‘AHLAN WASAHALAN’ buatmu tetamu terhormatnya…
Maka mengertilah! Bahawa indah cahayanya,
Akan menemani tiap jejak sepatu putihmu,
Menuju teratak ilmu itu..
Yakinlah bahawa kejayaanmu kebanggaanku,
Manakala,
Ketewasanmu kegagalanku,
Muridku,
Biarpun Hari Depanmu,
Masih dalam dua kemungkinan,
Namun biarlah – ‘UTARA’ dan ‘SELATAN’
Menjadi tawanan!


















No comments:

Post a Comment