Tuesday, 2 August 2011

BILA 'KEKASIH' MERAJUK...


Isnin -1 Ogos 2011 bersamaan 1 Ramadan 1432 Hijrah merupakan hari yang penuh dugaan. Tirai Ramadan disingkap dengan rasa ketaqwaan padaNya. Namun kita sebagai hanbaNya harus menerima ujian yang diberikan. Kekasihku merajuk.. Aku tahu aku banyak bersalah padamu. Aku sedar aku sering lupa pada perasaanmu. Aku pasrah apa yang telah terjadi.. Inilah balasanmu pada kecuaianku.
Jam 1.45 tengah hari aku bertolak dari Marang, Terengganu setelah melawat keluarga mertuaku sempena cuti Awal Ramadan. Sehari sebelum itu, kekasihku ini telah menunjukkan sesuatu ketidakpuasan hatinya padaku. Kupujuknya dengan RM250 di Bengkel Hussin dan berjaya seketika. Namun dalam perjalanan ke Kuala Kubu Bharu bermulalah episod mencabar dalam hidupku. Setelah berhenti membeli juadah untuk berbuka di Sg Ular, Kuantan dia sekali lagi merajuk.. Kebetulan dia meragam di hadapan Bengkel Rashid. Menurut Rashid kekasihku ini perlu dimasukkan ke 'wad' kerana 'penyakitnya' parah.
Jam menunjukkan pukul 4.35 petang. Aku masih di Warung Mizi yang masih ditutup kerana puasa. Kasihan Along Fahmi.. Aku telefon saudaraku di Kem TUDM Kuantan memohon pertolongannya mencari teksi untuk aku meneruskan perjalanan ku ke KKB. Namun gagal. Aku berusaha lagi memohon jasa baik Abang Rashid untuk mencari kereta sewa di kawasan itu. Katanya sukar kerana kawasan itu kawasan kampung. Aku buntu. Jam menunjukkan pukul 6 petang. Hari semakin gelap. Along dan ibunya semakin gelisah. Aku bertambah gusar. Apakah ini semua dugaan Allah buatku???
Hari semakin melabuhkan tirainya. Seorang lelaki tua bermotosikal melalui tempat kami berteduh. Saya sempat melemparkan senyuman tawar padanya sambil menanyakan tentang kereta yang boleh disewa kepada kami. Dia meminta kami menunggu sekitika. Selepas dia balik daripada membeli kuih di pasar Ramadan, dia datang bersama Abang Mazlan. Aku menarik nafas lega setelah mendengar persetujuannya menghantar kami ke KKB. Kami berbuka puasa di tepi jalan. Alhamdulillah kami dapat menyempurnakan ibadah puasa untuk sehari..
Abang Mazlan dan saudaranya itu mengambil kami jam 8.30 malam dan bertolak ke KKB. Empat jam perjalanan kami pun sampai jam 12.30 pagi. RM 500 kuhulurkan kepada Abang Mazlan yang sudi membantu kami. WHW 5550, maafkan aku kerana terpaksa meninggalkanmu seketika di sana.. Aku pasrah akan perpisahan kita ini. Insyaallah aku akan mengambilmu setelah dirimu sembuh seperti sediakala....

No comments:

Post a Comment