Friday, 20 February 2015

TOK GURU ... KEMATIAN YANG MENGHIDUPKAN

"Enta dari mana?" "Ana dari UIA".

"Alhamdulilah…belajar bersungguh-sungguh. Jangan jemu. Buat kerja dakwah".

Begitulah lebih kurang antara dialog kami 14 tahun lepas. Kenangan pertemuan kali pertama di Masjid Pulau Melaka, selepas solat Asar itu kembali menggamit memori.

Saya ditemani sahabat saya, Amin Idris, bertolak dari Kuala Lumpur ke Kelantan semata-mata untuk menziarahi beliau.

Selama ini hanya menatap wajahnya dari kaca televisyen dan dada akhbar. Mendengar suaranya melalui kaset-kaset ceramah beliau. Petang itu, saya dapat bersalaman dan bersembang secara langsung dengan beliau.

Tanpa temu janji. Tanpa surat. Tanpa protokol. Tanpa pengawal. Selepas beliau mengimami solat Asar, berkain pelekat berbaju Melayu dan berkopiah putih, saya dapat bertemu Menteri Besar Kelantan, yang lebih mesra dipanggil Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Pertemuan terakhir

Tanngal 7 Januari 2015, adalah kali terakhir saya bertemu, menatap wajah dan bersalaman dengan beliau. Saya bersama Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan ditemani adinda Tok Guru, Nik Nasim berpeluang menziarahi beliau di Hospital USM.

Tatkala melangkah masuk ke bilik rawatan, perasaan sebak tidak mampu disembunyikan lagi. Melihat beliau yang terbaring keuzuran, memandang kami dengan wajah yang sayu, lemah mengangkat tangan mungkin tanda menyambut kedatangan kami.

Bibir ini tidak terungkap kata-kata. Saya hanya mengucapkan salam dan kami bersalaman. Tangan beliau saya kucup penuh kerinduan.

Mungkinkah ini kali terakhir saya bersalaman dengannya? Persoalan ini bermain di fikiran. Perasaan sebak semakin meluak-luak.

Sepanjang berada di bilik rawatan, saya hanya menatap wajah beliau sambil mulut memanjatkan doa agar disembuhkan dan dipermudahkan segala urusannya.


Berita hiba

12 Februari 2015, 9.40 malam, malam Jumaat, detik ini begitu hiba sekali. Berita kematian beliau begitu berasa. Selepas 84 tahun, Tok Guru pergi buat selama-lamanya bertemu Sang Pencipta, ALLAH SWT. Perpisahan ini amat berat sekali.

Tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan, rakyat Malaysia bersedih atas kehilangan sebutir permata yang sukar untuk dicari ganti semula.

Kita kehilangan seorang ilmuwan yang disegani, pemimpin yang amanah, tokoh politik yang berprinsip, pejuang sunnah yang kental dan ahli zuhud lagi warak. Kita kehilangan murabbi ummah.

Seluruh kehidupannya disumbangkan kepada perjuangan dakwah menegakkan sunnah Rasulullah SAW, mentarbiahkan rakyat agar berasai hidup beragama, sentiasa mengajak supaya mengutamakan ajaran al-Quran dan sunnah Rasul-Nya dalam segenap aspek kehidupan termasuklah dalam urusan politik dan pemerintahan.

Jika diselusuri sejarah kehidupan beliau, tidak sedikit cabaran dan dugaan yang dihadapi. Dimaki, dicemuh, difitnah, dituduh sebagai kaum muda dan Wahabi, disekat, ditindas, dizalimi dan pelbagai lagi telah beliau rasai.

Itu semua tidak memadamkan semangat perjuangan beliau. Beliau terus berjuang sehingga ke hembusan nafas terakhir.

Namun, insan tetap tidak dapat lari dari hakikat insan. Tidak sempurna dan adanya kekurangan. Namun, kita dapat lihat, Tok Guru telah berusaha sehabis baik yang beliau mampu dalam memartabatkan Islam sepanjang hayat beliau sebelum dan semasa memegang tampuk kepimpinan Kelantan dan sebagai Mursyidul Am Pas.

Ramai yang sayang dengan Tok Guru. Ramai yang sedih dengan pemergian beliau. Lihatlah sahaja di hari kematiannya, puluhan ribu yang hadir untuk solat jenazah.

Belum dikira lagi yang solat jenazah ghaib dalam mahupun luar Malaysia. Ucapan takziah daripada pelbagai bangsa dan agama. Tanpa dibayar, tanpa diupah, tanpa dipaksa, mereka melakukan semua ini. Mudah-mudahan ini sebagai lambang ganjaran kebaikan yang diperoleh Tok Guru di sana.


Tiada talkin, kenduri tahlil?

Ada juga beberapa persoalan yang timbul apabila melihat pengurusan jenazah Tok Guru. Ada yang bertanya, mengapa tidak dibaca talkin selepas dikebumikan?
Mengapa tidak ditabur bunga dan disiram air atas kubur beliau?

Mengapa kawasan perkuburan tersebut tidak ada binaan kubur? Mengapa ahli keluarga beliau tidak mengadakan majlis tahlil dan kenduri arwah? Mengapa dan mengapa…

Ini bukanlah suatu yang pelik dan menghairankan. Sebenarnya inilah inti pati perjuangan dakwah beliau selama ini. Tok Guru sentiasa mengingatkan kita supaya memastikan akidah, ibadah, akhlak dan termasuk juga berpolitik berpandukan dalil yang sahih, bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW. Tok Guru mengajar kita semua supaya mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dan tinggalkan segala kesyirikan, khurafat, bidaah dan adat resam yang bercanggah dengan syariat.

Semasa hayatnya, beliau begitu memastikan agar urusan ibadah dan kehidupannya bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW, begitu juga beliau mahukan dalam urusan kematiannya. Alhamdulilah, ia dilaksanakan ahli keluarganya sekadar yang mampu.


Haram meratapi kematian

Contohnya, berdasarkan ajaran Rasulullah SAW, kita diharamkan untuk meratapi kematian (al-niyahah). Imam al-Zahabi di dalam al-Kabair menyenaraikannya sebagai dosa besar.

Hukum ini berdasarkan hadis yang melarang keras perbuatan ini. Antaranya ialah: "Dua perkara jika berlaku kepada manusia adalah kufur: mencela nasab keturunan dan meratapi ke atas mayat". (Riwayat Muslim, no 224)

Imam Al-Nawawi menghuraikan maksud hadis ini: 1) Kedua-dua perbuatan tersebut adalah amalan orang kafir dan merupakan akhlak jahiliah. 2) Perbuatan ini membawa kepada kufur. 3) Kufur (yang dimaksudkan ialah) kufur nikmat dan ihsan. 4) Jika ia mengharuskan perbuatan tersebut, maka ia menjadi kafir. (al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Beirut: Dar al-Ma’rifah, m/s 245)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya mayat diazab dalam kubur disebabkan ratapan ke atasnya". (Riwayat al-Bukhari, no 1292 & Muslim no 927)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani telah memberikan huraian yang panjang terhadap maksud hadis ini. Kesimpulannya, hal ini disebabkan si mati tidak mengajar dan berpesan kepada ahli keluarganya mengenai larangan ini. Maka keluarganya melanggar larangan ALLAH, lalu meratapi kematiannya. (Rujuk: Al-Asqalani, Fath al-Bari, Riyadh: Dar al-Salam, m/s 192-205)

Adat ahli keluarga mengadakan jamuan atau dikenali sebagai 'kenduri arwah atau majlis tahlil' termasuk dalam perkara meratapi kematian (al-niyahah).

Hal ini disebut sendiri oleh sahabat Rasulullah SAW; Jarir bin Abdullah al-Bajali: "Adalah kami menganggap berkumpul di rumah si mati dan menyediakan jamuan makanan adalah termasuk di dalam meratapi kematian". (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya (no.6905), Ibn Majah dalam Sunannya (2/2275). Disahihkan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (5/290). Di sahihkan juga oleh Syaikh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah (2/48).

Dalam ilmu hadis, jika mana-mana perkataan daripada sahabat Nabi Muhammad SAW yang menggunakan lafaz seperti "kami disuruh untuk melakukan sesuatu" atau "kami dilarang daripada sesuatu" atau "adalah kami mengatakan" atau "kami melakukan sesuatu" dan yang sama maksud dengan lafaz ini, perkataan tersebut dihukumkan sebagai hadis marfu’ (sanadnya sampai kepada Rasulullah).


ulama mazhab Syafie

Dalam hal ini, ulama Mazhab Syafie menyeru kepada perkara yang sama. Mereka melarang untuk diadakan majlis yang kita kenali sebagai kenduri arwah atau kenduri tahlil.

Sebagai contoh, Imam Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyebut: "Telah berkata pengarang kitab al-Syamil: Ada pun perbuatan ahli keluarga si mati yang menyediakan makanan dan menghimpunkan orang ramai (untuk jamuan tersebut), tidak pernah dinukilkan daripada Nabi SAW sedikit pun, dan ia adalah bidaah yang tidak disukai".

Ramai lagi ulama Mazhab Syafie yang menyebut perkara yang sama termasuk ulama Melayu Nusantara.

Contohnya, Syaikh Daud bin Abdullah al-Fatani dalam Furu’ al-Masai’l menyebutkan: "…dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh harinya dan dua puluh dan empat puluh dan apa yang demikian itu haram atau makruh atau harus (dijawabnya) adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela pada syarak kerana tegah pada syarak".

Apa pun, semua yang Tok Guru pesan kepada anaknya bagaimana untuk menguruskan jenazahnya, adalah manifestasi cinta dan sayang beliau kepada sunnah Rasulullah SAW.

Kematian Tok Guru menghidupkan banyak perkara. Menghidupkan kesedaran. Menghidupkan keinsafan. Menghidupkan erti perjuangan. Menghidupkan prinsip amanah dan keadilan. Menghidupkan erti zuhud dan ketakwaan. Menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang dipinggirkan.

Semoga Tok Guru diampuni, dirahmati dan diganjari syurga al-Firdaus.

*Penulis ialah mantan pensyarah Jabatan School of Social Science (Kolej Islam Antarabangsa). Berkelulusan sarjana dan ijazah sarjana dalam bidang ilmu wahyu, al-Quran dan Sunnah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sekarang bertugas sebagai perunding latihan dan motivasi di AITC.

Tuesday, 17 February 2015

Zumba Dance Workout For Beginners | Learn the Pose

3 HOURS The Best Relaxing Music Ever | Ocean | Flute | Piano | - Backgro...

Aerobic 2015 - 60 min Non-Stop Music

Zumba Be Fit by EveryDay

Zumba Be Fit by EveryDay

Kal Ho Naa Ho - Zumba Cool Down

slow Motion by Vybz Kartel Zumba Routine

Click Yu Finga Zumba Routine

Calabria Zumba Routine

Letting Go - Dutty Love Sean Kingston Zumba Routine

Boom Boom by Black Eye Peas Zumba Routine

BELASUNGKAWA TUAN GURU NIK AZIZ - PERGINYA LAGENDA POLITIK SEJATI


PADA malam Jumaat, penghulu segala hari bertarikh 12 Februari 2015 telah ditakdirkan seorang tokoh agamawan, ilmuan dan ahli politik yang disegani ramai dijemput menemui penciptaNya.

Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 9.40 Khamis malam sebaik sahaja tiba di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Baru, Kelantan selepas dibenarkan pulang daripada Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Nik Abdul Aziz meninggal pada usia 84 tahun. Beliau dilahirkan pada 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka.

Pemergian Nik Abdul Aziz buat selama-lamanya sudah pasti meninggalkan kesan besar kepada negara.

Sejak 1967, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen (MP) Kelantan Hilir (kini Pangkalan Chepa) berikutan kematian Ahmad Abdullah pada 1969.

Beliau menyandang jawatan MP Pengkalan Chepa selama 19 tahun sebelum berpindah untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api (kini Chempaka) pada 1986.

Dalam sejarah politiknya sebagai MP, Nik Abdul Aziz pernah menjadi wakil tunggal PAS di Parlimen iaitu antara 1983 hingga 1986.

Kepimpinan Ulama

Pada mulanya pelantikan Nik Abdul Aziz yang berpendidikan agama sebagai Menteri Besar Kelantan pada 1990 dianggap perkara biasa.

Ia berikutan beliau bukanlah pemimpin berlatarbelakangkan agama yang pertama diangkat mengetuai sebuah kerajaan negeri.

Untuk rekod, ketika PAS menguasai Kelantan pada 1959, Menteri Besarnya, Allahyarham Datuk Ishak Lotfi Omar ialah seorang yang mendapat didikan agama di Makkah.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz berjaya mewujudkan era 'kepimpinan ulama' yang luar biasa di Kelantan.


Nik Abdul Aziz melihat koleksi dinar emas miliknya untuk lelongan amal pada Muktamar PAS ke-59

Imejnya yang lebih selesa berjubah dan gaya hidupnya yang sederhana mencerminkan keperibadian tokoh agama terkenal itu.

Malah selama 23 tahun mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz memilih untuk tidak berpindah ke kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, Kampung Sirih, Kota Baru, sebaliknya beliau lebih selesa untuk tinggal di rumah asalnya di belakang masjid Pulau Melaka.

Lebih menarik, walaupun menggalas tugas besar sebagai ketua sebuah kerajaan, Nik Abdul Aziz tidak pernah berhenti melakukan tugasnya sebagai pendakwah.
Bekas guru yang pernah mengajar di Ma'ahad Muhammadi di Kota Baru itu tidak pernah berhenti memberi kuliah dan menyampaikan ceramah agama.

Walaupun memikul tanggungjawab yang besar, Nik Abdul Aziz tetap memilih untuk menjadi pendakwa sepenuh masa.

Kontroversi

Ketika hayatnya, Allahyarham yang juga bekas Menteri Besar Kelantan paling lama berkhidmat iaitu sejak 1990 hingga 2013 tidak pernah lekang dengan pelbagai kontroversi.

Sama ada ucapan, kenyataan media, serta komen-komen Nik Abdul Aziz yang lebih senang dipanggil 'Tok Guru' sering ditunggu-tunggu oleh kawan dan lawannya dalam politik.

Menariknya, ahli politik berimej ulama itu ternyata mempunyai cara tersendiri untuk menguruskan kontroversi yang diciptanya sendiri.


Nik Abdul Aziz sentisa menjadi tumpuan pihak media untuk mendapatkan pandangan mengenai isu politik semasa

Sekadar mengimbas kembali beberapa kenyataanya yang sering menghangatkan dunia politik negara, Nik Abdul Aziz pernah mengemukakan kiasan "Tak salah berkawan dengan syaitan" bagi menjustifikasikan kerjasama politik antara PAS dan DAP.

Bukan itu sahaja, Nik Abdul Aziz pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 'Tuhan pun mencarut' serta mendakwa 'Umno menolak ajaran Islam'.

Bagaimanapun politikus hebat yang mengabdikan diri dalam dunia politik sejak 1967 itu amat 'berseni' mengilas hujah dan kritikan terhadapnya.

Walaupun ada kalanya kenyataan kontroversi yang diungkapnya meletakkan PAS dalam situasi yang merumitkan, Nik Abdul Aziz sangat tenang mematahkan hujah dan kritikan lawan politiknya.

Sikap dan kebijaksanaan beliau itu ternyata sentiasa dipandang tinggi oleh penyokongnya.

Tegas

Dalam kelembutannya berbicara, Nik Abdul Aziz merupakan pemimpin PAS paling 'pantang' mendengar idea kerajaan perpaduan antara parti itu dengan Umno.

Idea kerajaan perpaduan BN-PAS mula timbul selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 apabila menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Ketegasan Nik Abdul Aziz itu kian memuncak apabila pada 19 Jun 2009, beliau mendesak supaya Timbalan Presiden PAS ketika itu, Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan.

Bagaimanapun desakan berkenaan ditarik balik tiga hari selepas itu apabila polemik kerajaan perpaduan berjaya dihentikan segara menerusi kenyataan media bersama pimpinan pakatan pembangkang di Parlimen menolak idea berkenaan.

Nik Abdul Aziz bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul PAS, Datuk Dr Haron Din

Namun ia tidak terhenti di situ apabila pada 23 Oktober 2009, Mursyidul Am PAS itu mencadangkan PAS mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu 'dua tiga kerat pemimpin bermasalah' dalam PAS.

Kali ini 'sasarannya' ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Desakan Nik Abdul Aziz itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa lagi pemimpin parti, antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan.

Pengganti
Pemergian Tok Guru sukar diganti. Idea, nasihat serta komen-komennya sudah pasti akan dirindui.

Buktinya walaupun sudah melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan selepas Mei 2013, Nik Abdul Aziz tetap menjadi sasaran pihak media untuk mendapatkan pandangan mengenai situasi politik semasa.

PAS sendiri kini kehilangan seorang Mursyidul Am yang begitu banyak memainkan peranan dalam urusan pentadbiran dan hala tuju parti itu khususnya 'tahaluf siyasi' atau kerjasama politik parti itu dengan DAP dan PKR.

Ternyata Nik Abdul Aziz ibarat lagenda politik yang tiada galang ganti dan tentunya terlalu awal untuk meletakkan anak lelakinya, Nik Mohamad Abduh yang juga MP Pasir Mas sebagai pemimpin yang mampu menyamai kepimpinan ayahnya.

Di Kelantan sendiri, penggantinya Datuk Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar masih belum teruji sepenuhnya.

Harus diingat, 'faktor Nik Aziz' sejak sekian lama berjaya mengekalkan penguasaan PAS di negeri itu, manakala nasib PAS di Kelantan di tangan Ahmad hanya akan diuji pada PRU-14 akan datang.

Yang pasti, legasi yang dipahat pemimpin bernama Nik Abdul Aziz ini terlalu besar dan tidak keterlaluan jika dikatakan sukar ditandingi barisan kepimpinan sedia ada.

Friday, 13 February 2015

YAB DATO' BENTARA SETIA TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT - PEMERGIAN MURABBI UMMAH



Banjir Besar Di Negeri Kelantan Baru2 Ini Rupanya Petanda Besar Kesedihan....Awan Terlebih Dahulu Menangis Kerana Mengetahui Akan Hilangnya Seorang Ulama Hebat...Bumi Pula Menerima Air Bagi Membersikan Dirinya Bagi Menerima Jasad Seorang Ulama Hebat.. Perginya Beliau Takkan Kembali Lagi.Moga Tenang Roh Beliau Disana... Ketepikan Isu Politik...Kita Saudara Se Islam..  Al - Fatihah Buat Tok Guru Nik Aziz ..










YB Menteri Besar Kelantan dan para pimpinan turut hadir





Kehadiran Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menziarahi arwah Murabbi Ummah jam 1.30 pagi






Suasana di perkarangan rumah Tok Guru tengah malam tadi


Menjelang Subuh di perkarangan rumah Al Mursyidul Am























Lautan ummah membanjiri bumi Pulau Melaka bagi menghantar arwah kembali ke pangkuan Penciptanya































Ust Don Daniyal



Ust Azhar Idrus


Syeikh Nuruddin



Sultan Muhammad V



Keratan akhbar Cina



Wan Zack Haikal


Jam 9.45 malam tadi, telah berangkat ke rahmatullah Murabbi Ummah yang melakar sejarah agung di negeri Kelantan Serambi Mekah, Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Tepat 12 Februari 2015 bersamaan tarikh kematian pengasas Ikhwanul Muslimin, Hassan Al-Banna yang ditembak mati pada tarikh 12 Februari 1949.

Berangkatlah menuju Tuhanmu wahai sang murabbi yang telah melahirkan ribuan kader politik dan dakwah sepanjang hayatnya. Takdir Allah yang maha agung, setelah berminggu lamanya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), beliau dibawa pulang ke rumah dan tiba tepat jam 8.50 malam ketika solat Isyak didirikan di masjidnya.

Allah SWT menjadi saksi terhadap jasa-jasamu di negeri ini. Perjuangan tanpa penat dan lelah membangunkan Kelantan bersama Islam telah menjadi model pentadbiran di seluruh negara bahkan juga di seluruh negara.

Perginya Murabbi Ummah Tuan Guru Nik Abdul Aziz ialah satu kehilangan besar buat perjuangan PAS dan juga dakwah Islam di tanah air ini. Namun, perjuangan perlu diteruskan hingga ke nadi yang terakhir.

Selamat berehat, sampai bersua lagi di akhirat wahai murabbi yang dirindui selalu. Kutitipkan doa dan harapan agar di dalam rahmat Allah jua kau dinaungi. Pesan dan tunjuk ajarmu tidak sekali-kali kulupai.....

BEREHATLAH WAHAI MURABBI!!