Monday, 27 October 2014

BUKAN KERANA LALAT

SEBUT sahaja Kedai Lalat, orang pasti memikirkan tentang kedai makan yang dipenuhi lalat, namun sebaliknya ‘lalat’ dimaksudkan itu simbolik kepada sebuah gerai makan yang begitu laris suatu ketika dahulu.                                                                 Kampung yang terletak kira-kira 6.5 kilometer dari pusat bandar, merupakan ibu daerah Sering dengan sebahagian besar penduduk merupakan kerabat Diraja Jembal.                                                                                     Menjejak salasilah Kampung Kedai Lalat, penduduk asal, Ismail Raja Deraman, 70-an, berkata, hampir 100 tahun lalu terdapat sebuah gerai yang menjual nasi berlauk menjadi tumpuan pelanggan.                                                                                                         “Keenakan masakan di gerai itu terbukti apabila makanan yang disediakan terjual dalam masa singkat antara 7 hingga 8 pagi. Di Kelantan, pengunjung yang ramai diumpamakan seolah-olah ‘dikerumuni lalat’,” katanya kepada Sinar Harian.



Namun begitu, Ismail berkata, tapak gerai berkenaan kini dijadikan pintu masuk Klinik Kesihatan Kedai Lalat di sini.

Merungkai sejarah Kedai Lalat, Ismail berkata, sebelum itu kawasan tersebut sudah dikenali sebagai Kota Jembal, sebagaimana digunakan hari ini.

Menurutnya, bermula daripada peristiwa itu, Kota Jembal bagaikan tenggelam seketika apabila penduduk seolah-olah selesa menggunakan nama Kedai Lalat tak kala merujuk kepada kawasan berkenaan.

Walaupun hanya lahir daripada cakap-cakap di kedai kopi, namun nama Kedai Lalat tetap mempunyai kelas tersendiri dan diguna pakai sehingga tertubuhnya Klinik Kesihatan Kedai Lalat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Lalat.

Menariknya, Kedai Lalat juga dikaitkan dengan tempat tinggal bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Pulau Melaka serta penubuhan Maahad Tahfiz Darul Anuar, berdekatan rumahnya yang menjadi tempat penyebaran ilmu agama untuk generasi muda dari seluruh pelosok negara.

Nik Aziz yang digelar Tok Guru juga merupakan Yang DiPertua Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK).

Ismail berkata, waktu itu hanya terdapat gerai kecil tersebut di samping beberapa gerai makanan lain dan surau ada di kawasan itu sebelum dikembangkan menjadi pekan.

Menurutnya, kawasan pekan Kedai Lalat itu sebelum ini merupakan kawasan sawah, dan kebun buah-buahan dengan menjadikan laluan kecil sebagai penghubung antara satu sama lain.

“Hasil perbincangan antara penduduk, mereka bersepakat membina laluan yang lebih baik menghubungkan Kedai Lalat dengan Pengkalan Datu.

“Kedai Lalat kemudiannya berkembang menjadi pekan kecil dan mempunyai bangunan sendiri yang masih kekal hingga hari ini, walaupun pelbagai perubahan dilakukan terhadap lokasi itu daripada masa ke semasa,” katanya.

Ismail berkata, Kedai Lalat dinaik taraf dan kini dengan keluasan mukim itu mampu menampung ratusan peniaga yang datang dari seluruh pelosok negeri ini.

Sementara itu, sejarah mencatatkan, Kerajaan Jembal diasaskan Raja Besar, keturunan Raja Bersiung yang memerintah Kedah sejak abad ke-14.

Raja Besar dan pengikutnya mencari tempat untuk dijadikan negeri sebelum mendirikan sebuah kota di tepi Sungai Babong, Pulau Melaka, di kawasan itu pula terdapat satu pokok ‘jambu jembal’ yang besar sebelum menamakan lokasi itu sebagai ‘Jembal’.

Pada 1638, Raja Besar menabalkan Raja Sakti sebagai penggantinya yang menetap di sekitar pekan itu. Difahamkan selepas penubuhan PKRJK pada 1992, nama Kedai Lalat ditukar secara rasminya ke Kota Jembal dan kekal sehingga hari ini

Tuesday, 21 October 2014

BICARA TENTANG ANJING

'Penganjur, peserta sentuh anjing wajib taubat'
11:36AM Oct 21, 2014
Mufti Kelantan mahu penganjur program 'I Want To Touch A Dog' dan umat Islam yang menyentuh anjing dalam majlis itu Ahad lalu, wajib bertaubat kerana dianggapnya mempersendakan hukum Allah.

Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata perbuatan menyentuh secara sengaja itu haram kerana anjing adalah najis mughallazah (najis yang berat) dan bertentangan dengan mazhab Syafie, laporSinar Harian hari ini.

“Jika dianjurkan oleh orang Islam, dia sebenarnya menghina hukum Allah dan boleh dianggap sebagai sindiran tajam terhadap kewibawaan umat Islam. Bertaubatlah," katanya seperti dilapor akhbar itu.

“Memang sedih dengan gejala tidak sihat berlaku akhir-akhir ini. Lepas satu ada lagi yang lain ditimbulkan dengan sengaja dalam masyarakat kita,” katanya dipetik.

Sementara itu Utusan Malaysia pula menakrifkan program itu sebagai "jarum halus" menyebarkan liberalisme dengan memetik pandangan beberapa tokoh agama.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Tan Sri Abdul Shukor Hussin menyatakan tidak perlu ada fatwa atau hukum baru yang perlu diletakkan kerana jelas perbuatan itu haram kepada seluruh umat Islam.

Dalam laporan akhbar itu, beliau turut mempersoalkan motif penganjur mengadakan acara itu di Bandar Utama, Petaling Jaya hujung minggu lalu sekalipun beliau tidak menafikan anjing mempunyai kemuliaan tersendiri sebagai makhluk Allah.

Menurut beliau lagi, acara seumpama itu tidak bersesuaian diadakan di negara ini walau apa pun tujuannya.

"Apakah penganjur berbuat demikian kerama mahu mempromosikan fahaman liberalisme yang jelas akan menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan umat Islam negara ini?" kata beliau dipetik akhbar itu.

Turut mempersoalkan motif penganjuran kempen itu, pendakwah popular Kazim Elias pula berkata program sebegitu tidak boleh dipandang ringan kerana akan membawa bahaya lebih besar di samping melibatkan urusan ibadah.

"Mana boleh saja-saja bela, saja-saja hendak pegang. Sebab apa hendak pegang? Isu apa? Hendak jadikan anjing sebagai apa? Mula-mula pegang kemudian bela, kemudian masuk ke dalam rumah dan kemudian?

"Binatang mughallazah ini sama seperti babi. Lepas ini buat pula kempen pegang babi dengan melawat ke pasar babi dan kemudiannya melarat ke makan babi pula," kata dipetik dalam satu lagi laporan.

KEMPEN SENTUH ANJING AGENDA LIBERAL - USTAZ KAZIM

SINAR HARIAN
NIZAM ZAIN
20 Oktober 2014


SHAH ALAM - Kempen sentuh anjing yang kononnya untuk membuang stigma dan mengatasi persepsi negatif orang Islam dan Melayu terhadap haiwan itu sebenarnya adalah 'jarum halus' bagi menyuburkan fahaman liberal dan pluralisme di negara.

Pendakwah terkenal, Mohd Kazim Elias mendakwa kempen anjing anjuran seorang Islam itu merupakan satu gerakan untuk menghalalkan sesuatu yang sudah diharamkan ALLAH kepada penganutnya.

"Ini semua ada agenda halus untuk meliberal dan mempluralkan agama.

"Ianya gerakan yang cukup halus dan dimulakan dengan satu kempen secara kecil-kecilan yang akhirnya akan merubah dan menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya.

"Kalau hendak dijadikan sebagai binatang peliharaan seperti kucing dan ayam dan lain-lain tidaklah boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan urusan ibadat seharian," katanya yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian mengulas kempen sentuh anjing "I Want to Touch a Dog" anjuran Syed Azmi Alhabshi di Central Park, Bandar Utama, Selangor, semalam.



Acara tersebut dianjurkan didakwa bagi membantu orang ramai terutamanya yang beragama Islam untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing.

Kempen itu juga turut memberi peluang kepada orang ramai yang beragama Islam untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim turut mempersoalkan penganjuran kempen tersebut dan kesal segelintir penganut Islam mudah terpedaya tanpa usul periksa.

"Halusnya kempen anjing ini namun sayang ada segelintir umat Islam yang tidak cukup halus mata hatinya untuk meneliti....

"Berhati-hatilah dengan kempen sebegini, lepas kempen arak, mai anjing pula, lepas ni apa pula?

"Jangan lepas ini buat kempen babi pula dengan alasan bahawa babi sekarang sudah bersih dah diternak dalam aircond, yang mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabangsa," tegasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Kazim menegaskan hukum memegang anjing sama seperti memegang babi yang telah diharamkan oleh ALLAH kepada orang Islam kerana kedua-dua haiwan itu bersifat 'mughallazah'.

"Mana boleh saja-saja bela, saja-saja hendak pegang. Sebab apa hendak pegang? Isu apa? Hendak jadikan anjing sebagai apa? Mula-mula pegang, lepas itu bela, lepas itu masuk dalam rumah!

"Binatang mughalazah ini macam babi jugalah mugahalazahnya, lepas ini buat la kempen pula pegang babi dengan melawat ke pasar babi lepas tu melarat ke makan babi pulak.

"Tidaklah salah pegang anjing, tapi apa sebabnya sampai buat kempen? Kenapa tidak buat kempen ke masjid, kempen menerima hudud atau kempen menerima konsep kalimah ALLAH," soalnya lagi.

PEMUDA PAS SINDIR PENGANJUR KEMPEN SENTUH ANJING

SINAR HARIAN
NIZAM ZAIN
20 Oktober 2014



SHAH ALAM - Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abd Hadi menyindir penganjur kempen sentuh anjing ‘I Want to Touch a Dog’.

Katanya, daripada sibuk mengajak umat Islam menyentuh anjing, lebih baik penganjur membuat kempen menyapu kepala anak yatim.

"Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana ALLAH SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap.

"Daripada sibuk berkempen sapu atas belakang anjing, lebih baik juga buat kempen belajar macam mana cara hendak sapu atas khuf sebagai ganti untuk basuh kaki dalam berwuduk," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kempen sentuh anjing ‘I Want to Touch a Dog’ anjuran Syed Azmi Alhabshi di Central Park, Bandar Utama, Selangor, semalam.

Acara tersebut dianjurkan kononnya bagi membantu orang ramai terutamanya yang beragama Islam untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing.

Kempen itu juga turut memberi peluang kepada orang ramai yang beragama Islam untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata lagi, walaupun dalam al-Quran, ALLAH menceritakan kisah Ashabul Kahfi yang bersama-sama dengan anjing peliharaan mereka, namun ia tidak sepatutnya disalahtafsirkan.

"Pengajarannya bukan supaya kita membelai anjing dalam kehidupan kita tetapi anjing pun membantu perjuangan Islam dengan caranya tersendiri.

"Nabi SAW ada menceritakan kisah perempuan pelacur dimasukkan ke dalam syurga kerana memberikan minum kepada anjing yang dahaga.

"Menunjukkan anjing tidak boleh disakiti dan berhak untuk dirahmati dalam keadaan yang memerlukan," ujarnya.

Dengan nada sinis beliau berkata, mungkin kempen seperti itu untuk mengatasi masalah rakyat yang tertekan akibat kenaikan harga minyak RON95 dan diesel baru-baru ini.

KEMPEN SENTUH ANJING - JAKIM DAKWA ADA AGENDA



SINAR HARIAN
NIZAM ZAIN
20 Oktober 2014

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendakwa kempen sentuh anjing "I Want to Touch a Dog' dikhuatiri mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baharu dalam masyarakat di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha juga berkata, penganjuran kempen itu juga boleh membawa kepada perbuatan yang cenderung untuk menghina.

"Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi.

"Justeru, peranan Jakim adalah untuk memastikan umat Islam di negara ini mengamalkan syariat yang tidak menyalahi mazhab Syafie.

"Hal ini sekaligus telah menimbulkan keresahan awam khasnya di kalangan umat Islam kerana secara jelas telah menyanggah pegangan mazhab dan ‘uruf/adat di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Kempen sentuh anjing "I Want to Touch a Dog" merupakan anjuran Syed Azmi Alhabshi bertempat di Central Park, Bandar Utama, Selangor, semalam.

Acara tersebut dianjurkan didakwa bagi membantu orang ramai terutamanya yang beragama Islam untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing.

Kempen itu juga turut memberi peluang kepada orang ramai yang beragama Islam untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan berkenaan.

Dalam pada itu, Jakim menegaskan mazhab Syafie, melarang penganutnya menyentuh anjing secara sengaja kerana perbuatan menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.

"Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai ‘mughallazah’ namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja.

"Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya," jelasnya.

Bagaimanapun menurut Jakim lagi, Islam tidak memandang keji kepada binatang anjing sebagai salah satu makhluk ALLAH, apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh anjing tanpa sebab adalah sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

"Anjing tetap wajar diberi kasih sayang, belas ehsan dan dijaga kebajikannya.

"Walau bagaimanapun, dalam Mazhab Syafie, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan tersebut sebagai binatang peliharaan," katanya lagi.

Sehubungan itu, Jakim bercadang untuk memanggil pihak penganjur kempen itu untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya

RAMAI MINTA SAYA CORETKAN TENTANG ANJING - DR ASRI



HARAKAHDAILY | 20 Oktober 2014.

KUALA LUMPUR: "Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim," tulis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Dalam tulisan menerusi facebook semalam, bekas Mufti Perlis itu menyatakan ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi oleh Islam dan ada yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam.

"Ada pula yang kata apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi," tulisnya lagi di bawah tajuk 'Anjing dan isu masyarakat Malaysia' sebagaimana di bawah.

Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara sensitive mudah timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan muncul. Sememang inilah reality masyarakat ‘era baru’ kini yang mempunyai pelbagai dimensi dan perspective baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang hidup dalam era yang lepas.

Ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi oleh Islam. Ada yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.

Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara ringkas isu-isu berikut:

Samakan Dengan Anjing

Walaupun manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya kesemua masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing merupakan satu penghinaan. Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man’s best friend’ namun jika kita berkata ‘you are like a dog’ ia merupakan satu penghinaan. Jika pun ada yang memahami dengan maksud kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan yang membuta tuli.

Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).

Jadi, jika masyarakat muslim sensitive apabila mereka ataupun amalan mereka dibandingkan dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang membuat apa-apa provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar dan ingin menimbul permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab. Perbuatan itu merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini.

Islam Benci Anjing?

Ada orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?

Dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah: (maksudnya) “dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).

Anjing tersebut menjadi binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.

Sementara dalam hadis pula, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.

Bolehkah muslim memiliki anjing?

Dalam al-Quran, Allah menyebut: (maksudnya) “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" bagi menjawabnya: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan ang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya" (Surah al-Maidah, ayat 4)

Binatang pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi ( meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.

Ertinya, muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab al-Kahfi yang disebutkan tadi.

Bolehkah Muslim Menyentuh Anjing?

Ada pula yang cuba menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doctor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek. Maka TIDAK HARAM menyentuh anjing.

Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis : “Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).

Mazhab Malik bin Anas pula paling longgar dan luas berhubung dengan anjing.

Memelihara Anjing Dalam Rumah?

Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.

Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.

Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak research yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!

Dalam hadis tadi, Nabi s.a.w: “Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah”. (Riwayat al-Bukhari).

Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi scientific maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.

Maka ini ringkasan yang sempat saya coretkan petang ini berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan dengan anjing

Saturday, 18 October 2014

KOMUTER - SESUATU YANG DINANTIKAN!











Pengalaman bersama Izara dan abang-abangnya menaiki komuter setelah 2 kali tertunda.
Kuala Kubu Bharu-Tanjung Malim

MENGORAK LANGKAH MENAMBAH STAMINA




Mengisi masa lapang pagi Sabtu bersama Abg Mus dan Cikgu Krill. Mendaki bukit di empangan Sungai Selangor